Monday, November 12, 2007

Perhimpunan besar 10 November berjaya



Catatan benar: (Bah. 1)
Perhimpunan besar 10 November berjaya

Oleh :wan_mujahid

Kira-kira jam 9.30 pada hari Jumaat sebelah malam, saya bertolak dari Temerloh memandu ke Kuala Lumpur untuk ke Perhimpunan Aman 10 November anjuran BERSIH. Turut bersama ialah Ust Nafiri dan tiga orang sahabat lagi. Pada malam tersebut kami bermalam di Bangi.

Keesokan harinya tepat jam 10 pagi, kami bertolak ke Sungai Besi dan dari sana menaiki LRT ke Masjid Jamek. Sesampai jam 11.30, terlihat orang sudah ramai yang saya jangkakan kira-kkira 20 ribu orang berkumpul merata-rata tetapi mereka tidak dibenarkan memasuki masjid kerana pagarnya masih berkunci ketika itu.

Saya melihat ini sengaja dibuat oleh pihak polis kerana untuk memudahkan mereka memerangkap peserta himpunan supaya tidak terlepas untuk berarak ke Dataran Merdeka. War-war penganjur perhimpunan ialah ‘perarakan aman dari Datran Merdeka ke Istana Negara’.

Masjid Jamek adalah lokasi berkumpulnya peserta-peserta himpunan bagi negeri-negeri Pantai Timur. Namun begitu, ramai juga peserta dari negeri lain termasuk Kedah dan Pulau Pinang yang berkumpul di situ.

Selepas sembahyang Zuhur orang semua berkumpul dalam masjid
Beberapa orang pimpinan seperti Dr Hatta Ramli telah memberi taklimat tentang perhimpunan.

Selepas taklimat dan baca doa baru kami bertolak. Beredar sahaja keluar, rupa-rupanya di luar pagar pasukan FRU bersama lima buah kereta tanker telah mengepung kawasan Masjid Jamek. Bila pasukan Unit Amal bertindak untuk keluar pagar diikuti anggota perhimpunan, tiba-tiba sebuah tanker FRU telah menyemburkan air kimia yang memedihkan mata. Ini membuatkan suasana menjadi bercempera dan hiru biru dengan sorakan takbir dan tangisan kanak-kanak.

Tidak semena-mena, halilintar kuat disertai hujan selebat-lebatnya turun. Senario ini kelihatan menggentarkan pihak polis dan tampak mereka undur sama ada ketakutan atau keletihan.

Rupa-rupanya hanya di Masjid Jamek pihak FRU yang bersedia dan bertindak dengan tanker penyembur air kimia, tidak di tempat-tempat lain.

Sebahagian kami termasuk Dr Hatta Ramli telah mengambil keputusan beredar ke jalan belakang dan berkumpul di situ. Dr Hattta bersama dengan beberapa pimpinan PKR telah merancang strategi baru untuk meneruskan perarakan ke Dataran Merdeka.

Rupa-rupanya bersama saya bukan sahaja terdiri di kalangan orang-orang PAS, malah turut disertai orang awam termasuk yang berbangsa Cina dan India, yang saya kira sudah tidak tahan dengan karenah pihak berkuasa.. Dalam masa yang sama, pihak polis terus menyembur air asid dan disusuli lemparan bom gas pemedih mata. Saya sendiri dan ramai sahabat telah menjadi mangsa lalu muntah-muntah dan mata terasa pedih. Kesan daripada semburan air kimia itu juga membuatkan badan jadi panas dan tidak selesa.

Saya kira mangsa yang paling teruk menjadi mangsa keganasan polis ialah kelompok yang terpecah dari kumpulan ramai.

Dalam keadaan bertabur begitu, pihak polis terus mengejar dan kami sendiri lari menyelamatkan diri. Tetapi Dr Hatta dengan menggunakan heller meniupkan semangat dan berjaya mengumpulkan kembali peserta-peserta himpunan yang sedang bercempera meski pun pihak polis terus menerus melakukan serangan ganas.

Ketika itu saya bersama kira-kira 30 orang terperangkap berhadapan dengan polis berhampiran sebuah bank. Walau bagaimana pun kami bernasib baik kerana pihak polis disibukkan dengan kekecohan di sebelah atas jalan, justeru kami sempat melarikan diri dan kembali bersama kumpulan yang diketuai oleh Dr Hatta.

Dalam masa yang sama seorang kawan yang berkumpul di Masjid India menelefon, ada peserta yang dibantai oleh polis berpakaian preman.
Di Masjid India, begitu juga di Masjid Negara

Dengan menyusun strategi baru, Dr Hatta berjaya membawa kumpulan seramai lebih 10 ribu berarak di jalan raya menuju istana. Dalam perjalanan sejauh 6 kilometer itu, pelbagai slogan telah di laungkan antaranya “Daulat Tuanku”, “hidup rakyat, hancur kezaliman”. Kebetulan, saya sendiri diberikan heller untuk menjeritkan kalimah-kalimah tersebut.

Memeranjatkan saya, pemandu-pemandu di jalan raya yang terdiri daripada pelbagai bangsa telah menunjukkan isyarat menyokong perhimpunan kami.

Sesampai sahaja ke istana negara, kumpulan perarakan kami mendapat tepukan bergemuruh sambil dilaungkan “berjaya...!.... berjaya!....” daripada kumpulan yang berada di situ kerana Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi dan Anwar Ibrahim telah berjaya menyembahkan memorandum kepada pihak istana.